AKN MoU Dengan Unisza

Diposting pada: 2015-08-13, oleh : Publikasi&Informasi , Kategori: Informasi

Kuala Lumpur | Satu kajian peringkat serantau bersifat eksplorasi di Aceh akan diadakan antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Universitas Teuku Umar Aceh Barat dan Pemerintah Daerah Kabupaten Aceh Barat pada tahun depan. Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim berkata hasil dari kajian eksplorasi itu nanti akan didokumentasikan bagi membantu pembangunan wilayah berkenaan selain sebagai bahan penerbitan ilmiah berbentuk buku atau filem serta jurnal-jurnal untuk rujukan pelajarnya.

"Sebenarnya banyak yang perlu kita pelajari di Wilayah Aceh Barat kerana mereka mempunyai pelbagai khazanah yang belum diteroka sama ada dalam bidang sains dan lain-lainnya. "Saya kira memorandum persefahaman (MoU) yang kita tandatangani hari ini merupakan satu pembuka jalan ke arah memudahkan segala urusan di antara kedua-dua belah pihak pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara UniSZA dan Pemerintah Daerah Kabupaten Aceh Barat di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Dr Yahaya mewakili UniSZA serta disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA Prof Madya Dr Nik Wan Omar manakala Pemerintah Aceh Barat diwakili Drs Rahmat Fitri yang mewakili Bupati Aceh Barat dan disaksikan Prof Dr Jasman Ma'ruf, Rektor Universitas Teuku Umar, Aceh Barat. Dr Yahaya berkata sebenarnya beliau telahpun menjalankan satu kajian bersifat pembangunan pelancongan di Aceh Barat dan akan diteruskan serta diperluas, bukan sekadar sektor pelancongan tetapi juga berkaitan bidang kebudayaan, kemasyarakatan, agama, sosial, ekonomi dan sebagainya.

Katanya, kajian yang bersifat komprehensif akan dijalankan kedua-dua pihak supaya ianya menjadi bahan dokumentari yang sangat penting kepada pelajar di pelbagai peringkat bagi kedua-dua negara serumpun itu. Sementara itu Dr Yahya berkata, UniSZA sedia memberi sedikit keistimewaan dari segi yuran pengajian kepada pelajar Aceh yang sedang belajar di UniSZA bagi kemudahan dalam usaha membantu anak-anak Aceh yang belajar di sini. Katanya, memang menjadi dasar UniSZA akan sentiasa memberi perhatian kepada mana-mana pelajar yang memerlukan bantuan, bukan sahaja dari Aceh, tetapi juga dari mana-mana negara terutama negara jiran. Ketika ini, seramai 10 pelajar Aceh telah mengikuti pengajian di UniSZA manakala seramai 15 orang lagi akan memasuki pusat pengajian tinggi itu tahun ini bagi peringkat Master dan PhD.

Sementara itu Drs Rahmat Fitri berkata, MoU yang ditandatangani kedua-dua pihak itu mampu mengeratkan lagi perhubungan yang sedia terjalin antara UniSZA dan Pemerintah Daerah Kabupaten Aceh Barat. Katanya menerusi perjanjian persefahaman itu, adalah harapan besar pemerintah Aceh Barat agar wujud sumber manusia yang tinggi dan pendidikan bagi membantu membangunkan negerinya. 

[dikutip dari portal Unisza]


Print BeritaPrint PDFPDF

Berita Lainnya



Tinggalkan Komentar


Nama *
Email * Tidak akan diterbitkan
Url  masukkan tanpa Http:// contoh :aknacehbarat.ac.id
Komentar *
security image
 Masukkan kode diatas
 

Ada 0 komentar untuk berita ini